KOTA BHARU, 3 Februari 2025 – Majlis Sambutan Hari Inovasi Sektor Awam Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2024 telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim. Majlis ini bertujuan untuk mengiktiraf serta menghargai usaha dan pencapaian warga sektor awam dalam memperkenalkan inovasi yang mampu meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan negeri.
Majlis ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Kaya Setia Dato' Nazran bin Muhammad, Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, yang menekankan kepentingan inovasi dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta mempercepat transformasi digital dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Acara ini turut menyaksikan penyampaian anugerah inovasi kepada individu dan organisasi yang telah memperkenalkan penyelesaian kreatif dalam meningkatkan keberkesanan perkhidmatan kerajaan negeri. Pemenang-pemenang anugerah ini diiktiraf atas usaha mereka dalam menerapkan teknologi baharu, meningkatkan proses kerja, dan memperkenalkan amalan terbaik dalam sektor awam.
Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta yang telah menyumbang kepada kecemerlangan sektor awam negeri Kelantan. Diharapkan inisiatif ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi memastikan sektor awam terus maju seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan masyarakat.