KUNJUNGAN HORMAT MDKPI KE MAJLIS BANDARAYA SEREMBAN
Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam telah mengadakan kunjungan hormat ke Majlis Bandaraya Seremban bagi mendapatkan perkongsian pengalaman dan mempelajari amalan terbaik dalam pengurusan serta kawalan bangunan di peringkat pihak berkuasa tempatan.
Delegasi MDKPI telah menerima taklimat daripada Encik Hadzeeq Ekhwan bin Radzali, Timbalan Pengarah, Jabatan Kawalan Bangunan MBS, berkaitan tatacara pengurusan permohonan bangunan, kawalan kerja-kerja pembinaan, pematuhan teknikal serta kaedah penyampaian perkhidmatan yang dilaksanakan oleh MBS.
Sesi tersebut turut membuka ruang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan pengalaman mengenai proses kerja, cabaran pelaksanaan serta pendekatan yang boleh disesuaikan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan berkaitan bangunan.
MDKPI merakamkan penghargaan kepada pihak Majlis Bandaraya Seremban, khususnya Jabatan Kawalan Bangunan, atas kesudian menerima kunjungan serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman sepanjang sesi berlangsung



