PRASARANA REKREASI KAMPUNG ANGKAT MADANI DI KOK LANAS DIRASMI DAN DISERAHKAN
KOK LANAS, 31 Oktober 2026 – Majlis Perasmian dan Penyerahan Prasarana Rekreasi Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2026 telah berlangsung pagi tadi di Dataran Warisan, Kok Lanas.
Majlis disempurnakan oleh Peguam Negara, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, melibatkan penyerahan prasarana rekreasi yang telah dinaik taraf di Taman Pinggiran Warisan, Kok Lanas.
Projek bernilai RM500,000 dengan peruntukan Kementerian Kewangan Malaysia itu merangkumi penyediaan laluan berbasikal, trek joging keluarga dan taman permainan kanak-kanak, selain pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) serta lampu solar.
Penambahbaikan ini melengkapkan kemudahan rekreasi sedia ada di Taman Pinggiran Warisan dan menyediakan ruang riadah yang lebih baik kepada penduduk serta pengunjung.
Menerusi Program Kampung Angkat MADANI Jabatan Peguam Negara 2026, kerja-kerja penambahbaikan turut dilaksanakan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kok Lanas, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Warisan Ketereh serta Pusat Latihan dan Dakwah Orang Asli, Islamic Outreach ABIM Kelantan.
Program pagi tadi turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan, pameran dan perkhidmatan agensi, pemeriksaan kesihatan, JPJ Mobile, Kaunter Cukai Taksiran serta Jualan RAHMAH MADANI dan jualan IKS.
Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam merakamkan penghargaan kepada Jabatan Peguam Negara serta semua agensi dan pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Kok Lanas.







