MDKPI RAIH PENGIKTIRAFAN BANDAR PINTAR PERINTIS 2026
Majlis Daerah Ketereh - Perbandaran Islam berjaya memperoleh pengiktirafan Tahap 1 – Bandar Pintar Perintis (Smart City Early Adopter) menerusi Anugerah Penarafan Bandar Pintar Malaysia 2026 di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan KPKT Malaysia melalui PLANMalaysia.
Pengiktirafan yang disampaikan sempena Sambutan Hari Perancang Bandar Sedunia 2026 pada 4 November 2026 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu menyaksikan MDKPI tersenarai dalam kalangan 18 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang mencapai penarafan Bandar Pintar Perintis pada kali ini.
Pada tahun ini, sebanyak 28 PBT di seluruh negara diperakukan menerima pengiktirafan berdasarkan penilaian MS ISO 37122:2019, yang mengukur tahap pelaksanaan inisiatif bandar pintar.
Bagi MDKPI, pencapaian ini menjadi satu penanda aras dalam usaha memperkukuh tadbir urus, memperluas penggunaan teknologi dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk. Ia juga seiring dengan hala tuju pembangunan bandar pintar Negeri Kelantan menjelang 2040.
Tahniah kepada seluruh warga MDKPI atas usaha dan sumbangan yang membawa kepada pengiktirafan ini. Semoga pencapaian tersebut menjadi dorongan untuk terus melakukan penambahbaikan yang memberikan manfaat nyata kepada masyarakat di kawasan pentadbiran Majlis.




